Che Ta Tak Halang Aaisyah Jadi Artis
- #tempatan
- #hiburan
- #selebriti
- #aktres
- #aaisyahdhiarana
- #rozitachewan
Pelakon, Rozita Che Wan, 52, tidak menghalang andai anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana, 12, ingin mengikut jejaknya menceburi dunia seni.
Bagaimanapun, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta berkata, dia dan suami, Zain Saidin, 41, sentiasa memantau dan memastikan setiap keputusan yang dibuat Aaisyah tidak menjejaskan pelajaran dan kesejahteraannya.
"Aaisyah rupanya tidak malu di hadapan kamera. Saya fikirkan dia malu. jadi, saya tidak bagi (mencuba bidang seni). Tetapi, apabila dia muncul dalam program Anak Mama Masak Apa Tu?, dia seronok.
"Jadi, kalau dia suka, saya okay sahaja. Selagi tidak menganggu jadual persekolahan dan kalau 'shooting' ketika cuti sekolah. Kalau hari ada kelas, tidak bolehlah.
"Suami saya bertanya apakah Aaisyah penat. Dia cakap seronok, jadi, kami okay. Lagipun, program seperti ini tidak perlu hafal skrip," katanya ditemui pada kempen Ramadan Raya (RR) 2026 - Jwanjih Kenyang anjuran TV3 di Banglo 289 di sini, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Rozita kurang selesa jika Aaisyah membintangi drama berikutan komitmen dan tekanan yang perlu dihadapi kanak-kanak agak tinggi.
"Kalau berlakon, tidak bolehlah. Berlakon, ada tekanan buat dia. Misalnya, kena menangis dan sebagainya. Bagi saya, kebajikan kanak-kanak sebagai pelakon tidak dijaga.
"Jika sudah sampai 'scene' awak, kena buat walaupun mengantuk atau penat. Namun, saya akui, anak saya itu pandai berlakon dan nampak ada bakat," katanya.
Rozita mengakui Aaisyah pernah menerima tawaran lakonan, tetapi tidak banyak.
"Aaisyah juga dapat tawaran menyanyi dari Indonesia, tetapi, kami tolak. Anak saya memang suka menyanyi dan saya pernah hantar dia hadiri kelas vokal bersama Mark Adam," katanya.
Rozita dan Aaisyah akan tampil dalam program Anak Mama Masak Apa Tu? di TV3, Ramadan ini.
Mengulas mengenai program itu, Rozita berkata, Aaisyah akan pertama kali muncul di televisyen (TV) membabitkan produk seumpama itu.
"'Shooting' untuk program ini sangat senang. Saya selesa bekerjasama dengan TV3. Tidak teruk pun kami memasak sebab kami dibantu chef. Jadi, semuanya mudah," katanya.
Sementara itu, Aaisyah mengakui seronok diberi kesempatan ibu dan ayah untuk menceburi bidang diminati. Dia mengakui minat bidang lakonan dan nyanyian.
"Saya seronok dapat menjayakan program Anak Mama Masak Apa Tu? bersama ibu. Disebabkan itu, semua kerja jadi lancar," katanya.
Sumber: Harian Metro
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|225 Views
No Comments yet
Be the first to comment.