Demi The Keris, Viknes Perrabu Tonton Filem Sendiri Lebih 100 Kali

PENGARAH Viknes Perrabu mendedahkan minatnya menghasilkan filem Melayu bermula selepas didedahkan dengan keindahan budaya Melayu dan ajaran Islam menerusi dua sahabat karibnya.

Menurut Viknes, atau lebih mesra disapa VP, pengalaman mempelajari Surah Al-Alaq daripada rakan-rakannya membuka ruang untuk dia mengenali budaya Melayu dengan lebih mendalam.

"Rakan baik saya ada dua orang iaitu Nazri dan Helmi. Kami selalu bermain bola bersama-sama dan mereka mengajar saya membaca surah.

"Surah pertama yang saya belajar ialah Surah Al-Alaq ayat satu hingga lima yang mengajar tentang kepentingan menuntut ilmu.

"Daripada situ saya rasa mahu belajar lebih banyak mengenai budaya Melayu.

"Kalau ada kekurangan dari segi bahasa, konsep atau agama, saya akan terus perbaiki pada masa akan datang," katanya.

Mengulas pembikinan filem The Keris, Viknes mengakui peralihannya daripada industri filem Tamil kepada naskhah Melayu memberikan cabaran tersendiri, terutama dari aspek komunikasi bersama pelakon dan kru produksi.

"Selama ini saya biasa bekerja dalam persekitaran filem Tamil dan memberi arahan dalam bahasa Tamil.

"Untuk The Keris, komunikasi dalam bahasa Melayu sedikit mencabar, terutama ketika memberi penerangan kepada pasukan produksi dan pelakon," jelasnya.

Dalam usaha memastikan hasil terbaik, Viknes berkata dia menonton semula filem tersebut lebih 100 kali sebelum dipertontonkan kepada umum.

"Pada mulanya durasi filem ini sekitar dua jam 35 minit. Saya potong kira-kira 25 minit dan lakukan banyak penambahbaikan dari segi suntingan, warna, aspek teknikal serta lakonan.

"Versi yang ditayangkan sekarang adalah yang terbaik setakat ini. Kalau masih ada ruang untuk diperbaiki, saya akan terus belajar tentang budaya Melayu dan Islam," katanya.

Dalam pada itu, Viknes turut menjelaskan keputusan mempertaruhkan muka baharu, Syazlie Syazz, sebagai teraju utama dibuat kerana yakin dengan potensi dimiliki pelakon berkenaan.

"Semua nama besar dalam industri juga bermula sebagai orang baharu.

"Saya memang mahu memperkenalkan Syazlie. Dia seorang stuntman yang berbakat dan mampu membawa pelbagai emosi.

"Malah dia sanggup datang ke Kedah bersama isterinya dan berjanji akan memberikan yang terbaik jika diberi peluang," ujarnya.

The Keris mengisahkan Samuel yang berusaha mendapatkan Keris Tempa Melaka milik Hang Tuah dengan menghantar anak kepada ketua mafia Rusia menyertai kejohanan seni mempertahankan diri.

Filem terbitan Mathe's Production House Sdn. Bhd. itu mula ditayangkan di pawagam sejak 2 Julai lalu, dengan barisan pelakon termasuk Syazlie Syazz, Abbey Abimbola, Raja Azrey dan Datuk Jalaluddin Hassan.



0 Comments

|

96 Views

No Comments yet

Be the first to comment.

All Comments

Sort

  • Newest
  • Oldest
  • Most Liked

Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content