Entertainment |  6th December, 2025

"Izinkan Saya Berduka" - Zizie Ezette

  • #tempatan
  • #selebriti
  • #bungmoktar
  • #berita
  • #zizieezette
  • #semass

Pelakon Datin Seri Zizie Izette meluahkan rasa kehilangan selepas pemergian suaminya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, awal pagi Jumaat.


Menerusi satu coretan di Instastory, Zizie, 47, memohon ruang untuk melalui detik dukanya, sekali gus mengenang segala jasa dan kebaikan Allahyarham sepanjang 16 tahun mereka melayari alam perkahwinan.


"Izinkan saya berduka malam ini (Jumaat). Inilah insan yang selalu mengalah demi anak-anak, sentiasa berusaha membahagiakan mereka dan juga sesiapa sahaja di sekelilingnya.


"Malam ini saya berasa benar-benar hilang arah... alangkah baiknya jika saya masih diberi sedikit masa untuk memeluknya, untuk memberitahunya betapa saya menghargai segala kebaikan yang telah dicurahkan buat keluarga kami, dan untuk mengucapkan terima kasih dengan sebenar-benarnya," katanya.




Dalam hantaran tersebut Zizie turut memuat naik video gelagat anak-anak yang cuba menyakat arwah untuk menunaikan solat. 


Bercerita lanjut mengenai keperibadian Allahyarham, Zizie menyifatkan suaminya sebagai seorang yang sangat menjaga hubungan dengan Allah.


"Hatinya begitu mulia, pemurah dengan sedekah, dan tidak pernah lalai menjaga solat. Di mana sahaja dia berada, bibirnya sentiasa basah dengan tasbih dan zikir," ujarnya.


Pada pagi Jumaat, Allahyarham Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag dan pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.46 pagi di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.


Allahyarham sebelum itu menerima rawatan akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru.


Jenazah arwah disolatkan selepas solat Jumaat dengan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Imam Suhaidi Kuanting, sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, Kota Kinabalu.




Bung Moktar merupakan ADUN Lamag sejak September 2020, selain pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan Menteri Kerja Raya Sabah dari September 2020 hingga Januari 2023.


Untuk rekod, Zizie berkahwin dengan Allahyarham pada 2009 sebagai isteri kedua dan pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata serta turut membesarkan dua orang anak angkat.


Sementara itu, isteri pertama Allahyarham, Datin Seri Nor Asidah Alimuddin, pula dikurniakan dua orang anak.


Sumber: mStar




Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content