Copyright © 2025 The WayanG
. All rights reserved.
Pelakon, Sharifah Sakinah menegur segelintir individu yang dilihat gemar menjadikan masalah gangguan hiperaktif dan kurang tumpuan (ADHD) sebagai alasan untuk menghalalkan tingkah laku buruk sendiri.
Sakinah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 36, berkata kesedaran mengenai kesihatan mental perlu selari dengan tanggungjawab, bukannya dijadikan perisai untuk menutup kelemahan diri.
"Jangan jadikan ADHD sebagai alasan untuk tutup buruk sendiri. Kalau ada ADHD tetapi tidak memudaratkan, nikmati perjalanan hidup dan lihat sesuatu dari sudut positif," katanya menerusi perkongsian di Threads.
Menurut bintang drama Curang Tanpa Niat itu, mereka yang benar-benar mengalami simptom serius sehingga menjejaskan rutin harian perlu mendapatkan rawatan profesional, bukan terus mencari alasan.

"Kalau sakit, jumpa doktor. Rehat dahulu daripada kerja. Atau berhenti menyuap 'dopamin murah' seperti ganja, alkohol dan dadah jalanan.
"Berehat, baring, tenangkan fikiran, kurangkan media sosial," katanya.
Perkongsian Sakinah itu turut mengundang pelbagai maklum balas netizen yang rata-ratanya bersetuju dengan teguran tersebut.
"Betul kata Sakinah. Tak semua benda perlu disalahkan pada ADHD. Ramai jadikan penyakit itu alasan untuk elak tanggungjawab," kata seorang pengguna.
"Kadang kita kena jujur. Kalau perangai sendiri tak nak ubah, jangan salahkan kondisi," tulis seorang lagi."
"Ramai keliru antara ADHD dengan perangai tak mahu berubah. Bagus Sakinah berani tegur," komen seorang pengikut.
Sakinah sebelum ini pernah mendedahkan dirinya menghidap disleksia tahap ringan serta mempunyai ciri-ciri ADHD, namun hanya mengetahuinya selepas tamat persekolahan, sekali gus membantunya memahami keperluan diri dengan lebih baik.
SUMBER: THREADS