Pengacara dan personaliti media sosial, Nabil Mahir mendedahkan isterinya yang juga penyanyi, Ayda Jebat, terpaksa melalui prosedur jahitan semula selepas luka pembedahan bersalin anak ketiga mereka terbuka.
Nabil menerusi hantaran di Instagram memaklumkan, kejadian itu berlaku sebulan selepas Ayda melahirkan cahaya mata ketiga mereka menerusi kaedah pembedahan (C-section).
Menurut Nabil, doktor pada mulanya memaklumkan luka itu tidak perlu dijahit semula kerana sedang pulih dengan baik. Namun, segalanya berubah apabila Ayda tetap mahu terbang ke Singapura bagi memenuhi komitmen kerja di Celebfest Singapore Jumaat ini.
"Kalau nak pergi, kena jahit. Itulah kata doktor sebaik sahaja dia tahu Ayda masih berkeras untuk terbang ke Singapura.
"Dia sendiri sebenarnya tidak mahu dijahit dari awal. Tetapi dia sudah berjanji untuk bertemu semua orang di sana. Lalu dia memilih untuk menahan sakit semata-mata mahu memastikan dia tetap hadir," katanya.
Tambah Nabil, sebagai suami, dia mengakui tidak sampai hati melihat pengorbanan isterinya yang terpaksa menahan kesakitan yang amat sangat di sebalik senyuman yang dipamerkan kepada umum.
"Hati saya pedih melihat dia bergerak pun kadang-kadang. Dia masih dalam proses sembuh dan menahan sakit. Ada malam-malam dia tidak mengadu, tetapi saya tahu.
"Saya melihat kekuatan di sebalik senyumannya. Saya melihat pengorbanan yang tidak semua orang nampak. Inilah wanita yang saya kagumi," tulisnya.
Dalam pada itu, Nabil turut menitipkan pesanan buat peminat dan pengunjung yang bakal menemui Ayda di Singapura agar memahami keadaan fizikal isterinya yang masih belum pulih sepenuhnya.
"Jika anda datang, mohon lembutkan tutur dan layanan buatnya. Dia melakukan semua ini dengan tubuh yang masih sembuh dan hati yang tetap kuat," katanya.
Nabil dan Ayda mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ana Nayla dan Aali Mateen sebelum kehadiran anak ketiga, Anggun Mikayla pada 26 Januari lalu.
Sumber: Harian Metro
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|317 Views
No Comments yet
Be the first to comment.