Masih Terlalu Awal, Nora Danish Enggan Ulas Status Dengan Mickey Ayo

Pelakon, Nora Danish, enggan mengulas status hubungannya dengan perunding kewangan, Mickey Ayo meskipun dilihat kerap muncul bersama kebelakangan ini.


Nora atau nama sebenar, Nora Mohd Danish Hanif, 43, beranggapan masih terlalu awal untuk dia memberikan sebarang kenyataan mengenai perkara itu.


"Saya rasa masih terlalu awal untuk kami komen lebih lanjut. Insya-Allah, kalau ada apa-apa yang baik dan perlu dikongsi, kami akan beritahu perkara itu.


"Sejak dulu saya sangat bersyukur kerana memiliki penyokong yang sentiasa mendoakan yang terbaik dan bersama dengan saya sejak awal hingga sekarang.


"Terima kasih banyak kerana terus berada di sisi saya hingga hari ini. Saya amat menghargainya dan semoga kalian terus mendoakan yang terbaik buat semua," katanya ditemui pada acara Amber Allstar Picklebash di Kings Court@TTDI, di sini, malam tadi.




Nora juga sudah menasihatkan Mickey untuk kuat dan tahan berdepan dengan perhatian masyarakat selepas keakraban mereka menjadi sorotan.


"Saya juga selalu latih Mickey untuk menjadi kuat dari segi mental dan fizikal. Dalam dunia ini, pasti ada yang suka dan ada yang tidak, itu lumrah. Saya selalu ingatkan dia supaya melihat semuanya dari sudut yang positif.


"Kadang-kadang memang ada tekanan, terutama bagi Mickey kerana dia tidak biasa dengan perhatian umum. Setiap perkara pasti ada hikmah. Sebenarnya, saya serahkan semuanya kepada Yang Maha Esa," katanya.


Sementara itu, Mickey mengakui agak canggung apabila tumpuan diberikannya kian lebih terasa. Apalagi dia sendiri bukan berada dalam bidang hiburan dan masih asing dengan dunia selebriti.


"Memang sedikit kurang selesa sebab saya tak biasa dengan situasi begitu. Bidang saya pun bukan dalam dunia hiburan. Tapi, inilah dia, bila kita berkawan dengan selebriti, perkara seperti ini memang tak dapat dielakkan," katanya.




Terdahulu, spekulasi hubungan mereka jadi lebih hangat selepas tular kad jemputan berinisial 'M' dan 'N' sekali gus menimbulkan dakwaan bahawa pelakon itu bakal mendirikan rumah tangga.


Bagaimanapun, Nora menafikan insiden pada September lalu itu dan menjelaskan tiada apa-apa perancangan seperti yang disangka ramai.


Nora pernah mendirikan rumah tangga dengan Nedim Nazri pada 30 Mac 2017 sebelum bercerai pada 19 Jun 2024. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Neqayl, 7.


Sebelum itu, Nora turut berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli pada 2006 dan berpisah pada 2008. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Putra Rayqal, 17.


SUMBER: HARIAN METRO



0 Comments

|

333 Views

No Comments yet

Be the first to comment.

All Comments

Sort

  • Newest
  • Oldest
  • Most Liked

Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content