Pelakon Datuk Aaron Aziz mendedahkan namanya pernah digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk meyakinkan individu melabur dalam projek perfileman tanpa pengetahuan atau persetujuannya.
Menurut Aaron, taktik menggunakan gambar dan pertemuan bersama selebriti bagi menarik kepercayaan pelabur bukanlah perkara baharu, malah sudah beberapa kali berlaku sepanjang pembabitannya dalam industri.
"Baru-baru ini pun ada satu kes yang saya tidak mahu sebut siapa. Beberapa kali perkara seperti ini berlaku apabila ada pihak mengajak berjumpa kononnya mahu membincangkan projek besar.
"Mereka bergambar dan membuat pelbagai perbincangan, tetapi selepas itu terus senyap. Tiba-tiba ada orang datang kepada saya dan berkata dia sudah melabur dalam projek saya," katanya.
Lebih mengejutkan, Aaron berkata dia sendiri tidak mengetahui mengenai pelaburan tersebut sebelum ditunjukkan bukti oleh individu yang terlibat.
"Saya terkejut kerana saya sendiri tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.
"Apabila ditunjukkan bukti, rupa-rupanya ada pihak menggunakan pertemuan dan gambar yang diambil bersama saya untuk meyakinkan pelabur bahawa saya sudah bersetuju dengan projek berkenaan, sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku," jelasnya.
Menurut Aaron, perbuatan sedemikian bukan sahaja merugikan pelabur, malah boleh menjejaskan perkembangan industri kreatif apabila kepercayaan terhadap projek filem semakin terhakis.
"Masalahnya, apabila pelabur sering menjadi mangsa penipuan seperti ini, lama-kelamaan mereka akan hilang keyakinan untuk melabur dalam industri filem.
"Akhirnya pihak yang benar-benar serius dan mempunyai projek yang baik juga akan terkesan kerana kepercayaan itu sudah hilang," katanya.
Dalam pada itu, Aaron mengakui sukar untuk mengawal kegiatan berkenaan kerana masih ada individu sanggup mengambil kesempatan demi keuntungan peribadi.
Malah, pelakon filem KL Gangster itu turut mendedahkan satu lagi kes terbaharu apabila namanya sekali lagi dikaitkan dengan sebuah projek yang masih berada pada peringkat perbincangan awal.
"Semalam pun ada satu kes apabila staf saya menghubungi dan bertanya kenapa nama saya digunakan. Saya sendiri terkejut kerana tidak pernah membuat sebarang perjanjian.
"Apa yang berlaku hanyalah sesi perundingan dan perkenalan awal. Namun, ada pihak yang menggambarkan kepada pelabur bahawa rundingan itu sudah selesai dan persetujuan telah dicapai," ujarnya.
Mengulas lambakan syarikat produksi baharu dalam industri, Aaron berkata keadaan itu menjadikan artis lebih sukar mengenal pasti pihak yang benar-benar serius berbanding mereka yang mempunyai agenda lain.
"Kita sebagai artis akan bertemu ramai orang termasuk pelanggan dan bakal rakan kerjasama. Namun, sama ada seseorang itu benar-benar ikhlas atau mempunyai niat untuk menipu, perkara itu sukar untuk diketahui sejak awal," katanya.
0 Comments
|1 Views
No Comments yet
Be the first to comment.