'No, Enough Is Enough' - Yusof Haslam Tolak Rayuan Pelakon Positif Dadah
- #tempatan
- #hiburan
- #drama
- #penerbit
- #dramapolis
- #gerakkhas
- #tiadamaaf
- #pelakonpositifdadah
- #yusofhaslam
Penerbit dan pemilik Skop Productions, Datuk Yusof Haslam menegaskan tiada ruang untuk berkompromi dengan mana-mana pelakon syarikatnya yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Pendirian tegas itu dibuat susulan penahanan seorang pelakon yang membintangi drama Gerak Khas Undercover 2.0 selepas disyaki positif dadah jenis methamphetamine.
Menurut Yusof, pelakon terbabit digugurkan serta-merta daripada produksi walaupun penggambaran hanya berbaki dua episod sebelum tamat.
"Penggambaran tinggal kira-kira dua minggu sahaja lagi selepas bermula sejak Disember 2025. Drama ini pun sudah masuk minggu kedua tayangan.
"Memang dia masih ada beberapa babak penting untuk dua episod terakhir, tetapi kami nekad membuat keputusan tegas.
"Kalau drama ini disambung ke musim seterusnya sekali pun, nama dia memang tiada dalam senarai. Kalau kami tahu lebih awal, memang kami takkan ambil dia," katanya kepada Kosmo! Online.
Yusof berkata, sejak awal lagi beliau sering mengingatkan semua pelakon dan kru supaya menjaga disiplin serta mengelakkan diri daripada terlibat dengan dadah atau sebarang perkara yang boleh mencemarkan imej produksi dan pasukan polis.
"Saya selalu tekankan soal integriti. Jangan terlibat dengan dadah atau perkara yang boleh merosakkan nama baik pasukan.
"Tapi kita tak mampu mengawal apa yang mereka buat di luar waktu bekerja. Anak ramai pun, seorang dua tetap buat hal. Mereka sudah dewasa dan tahu bezakan baik buruk," ujarnya.
Malah, Yusof mendedahkan pelakon terbabit sempat merayu agar diberi peluang menghabiskan baki penggambaran, namun beliau tetap dengan keputusan untuk menggugurkannya.
"Dia merayu kepada saya supaya dibenarkan habiskan penggambaran. Saya cakap, 'No, enough is enough. I have to drop you.'
"Saya juga beritahu selepas ini, untuk mana-mana produksi Skop, saya memang tidak akan ambil dia lagi, apatah lagi untuk drama kepolisan," katanya.
Menurut Yusof, sepanjang hampir lapan tahun bersama francais Gerak Khas, pelakon berkenaan tidak pernah menimbulkan masalah disiplin, namun insiden kali ini amat mengecewakannya.
"Selama ini dia tiada masalah disiplin. Sebab itu saya pilih dia untuk naskhah terbitan TVS ini.
"Tapi apabila jadi macam ini, saya memang sangat dukacita. Bagi saya, dia sendiri yang membakar kariernya. Bukan saja memberi kesan kepada dirinya, malah tempias turut terkena kepada produksi yang kami bangunkan," ujarnya.
Beliau turut menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan berharap insiden tersebut menjadi pengajaran kepada semua penggiat industri agar sentiasa menjaga disiplin serta integriti.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelakon wanita yang membintangi drama kepolisan terkenal ditahan bersama 17 individu lain dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di ibu negara selepas disyaki positif dadah jenis methamphetamine.
Sumber: Kosmo! Online
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|458 Views
No Comments yet
Be the first to comment.