PENYANYI Nubhan dan bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek sah bercerai dengan talak kedua di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor pada Selasa.
Perkara itu diputuskan oleh Hakim Tuan Umamuddin Yunus apabila Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahamad, 39, melakukan dua kali lafaz cerai di luar mahkamah.
Menurut peguam mewakili Nubhan iaitu Mohd Redzuan Ramli Dr Afifah dipercayai sudah selesai menjalani tempoh edah sebanyak tiga kali suci.
"Nubhan mengesahkan terdapat dua lafaz cerai di luar mahkamah dan mahkamah telah sahkan lafaz cerai pertama pada 19 Januari 2017 dan berlaku rujuk pada 21 Januari 2017. Untuk kali kedua lafaz cerai berlaku pada 26 Ogos 2025.
"Mahkamah mengesahkan dua lafaz cerai dan rujuk tersebut. Pihak defendan (Dr Fie) diperintahkan untuk melalui proses idah bermula 26 Ogos dan kemungkinan telah habis," katanya kepada mStar.
Nubhan dan peguamnya ditemui selepas selesai prosiding pengesahan lafaz cerai yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor pada Selasa.
Sementara itu, peguam Dr Fie iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader berkata pihaknya bersedia untuk berunding dengan Nubhan berkaitan isu melibatkan harta pencarian, mutaah dan nafkah anak.
"Kita akan cuba berunding dengan pihak plaintif. Kalau dapat capai kata sepakat, kita akan terus rekodkan di mahkamah," katanya.

PILIH BERDAMAI DEMI ANAK-ANAK
Sementara itu, Nubhan memilih untuk berdamai dengan bekas isterinya demi kebajikan anak-anak.
"Selepas ini, kami masih boleh berkawan baik demi anak-anak. Saya rasa tak ada masalah untuk berkawan, hubungan kami diharapkan masih baik.
"Fokus kami adalah untuk menjaga kebajikan anak dan besarkan mereka dengan baik, insya-Allah.
"Saya harap yang terbaiklah untuk semua pihak, termasuk buat bekas isteri saya," kepada mStar.
Ketika ditanya mengenai perasaan sayang terhadap Dr Afifah atau dikenali Dr Fie, Nubhan menegaskan hubungan mereka dalam keadaan baik.
Namun dia bersyukur apabila proses perceraian di mahkamah berjalan dengan lancar.
"Saya tak boleh komen perkara (perasaan sayang) ini. Kami nak yang baik-baik sajalah. Perkara ini (perceraian) tiada siapa yang nak. Siapa inginkan perkara ini berlaku.
"Tapi saya bersyukur semuanya berjalan dengan lancar, Alhamdulillah. Doa yang terbaik sajalah untuk kehidupan kami akan datang," ujarnya.
Terdahulu, Nubhan memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, membabitkan lafaz yang berlaku pada 2017 dan 26 Ogos lalu, selain satu lafaz rujuk selepas talak pertama.
Untuk rekod, Nubhan dan Afifah juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkahwinan mereka diserikan dengan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.
SUMBER: mStar
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|327 Views
No Comments yet
Be the first to comment.