Syatilla Melvin manfaatkan media sosial untuk sebarkan kebaikan
- #repostkataagama
- #sahamakhirat
- #tempatan
- #hiburan
- #selebriti
- #pelakon
- #syatillamelvin
Pelakon dan usahawan Syatilla Melvin mendedahkan dia lebih gemar berkongsi semula petikan daripada agamawan di media sosial berbanding menulis sendiri kerana merasakan dirinya kurang mahir menyusun kata-kata.
Menurut Syatilla atau Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 35, perkongsian tersebut dibuat dengan harapan dapat menyebarkan perkara yang bermanfaat selain menjadi usaha kecil mengumpul 'saham akhirat'.
"Saya kerap berkongsi hantaran berkaitan agama dan kebaikan di media sosial sebagai salah satu cara untuk mengutip 'saham akhirat' dengan menyebar perkara-perkara baik dan positif.
"Jadi, tindakan saya membuat 'repost' hantaran petikan daripada agamawan itu lebih baik daripada menulis sendiri kerana saya tidak pandai menyusun kata-kata sesuai kepada umum," katanya kepada Harian Metro.
Isteri kepada pelakon Shaheizy Sam itu turut mengakui pengikut media sosialnya sedia maklum dengan cara penulisannya yang disifatkan kurang tersusun.
"Saya jenis ada masalah hendak menyusun ayat dengan baik, dan pengikut media sosial saya pun tahu yang ayat-ayat saya tulis selalunya bersepah. Jadi, adalah lebih baik saya 'repost' sahaja.
"Petik kata-kata daripada agamawan yang saya baca penulisan mereka, salin dan kemudian muat naik hantaran itu di platform Threads untuk kongsi mesej baik," ujarnya.
Tambah ibu kepada tiga cahaya mata itu, kebanyakan hantaran yang dikongsikan adalah kata-kata yang memberi kesedaran bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada semua pengguna media sosial.
"Hantaran-hantaran baik dan positif yang saya kongsikan itu bukan untuk jadi renungan kesedaran buat diri saya sendiri tetapi untuk kita semua.
"Mana-mana ayat atau petikan yang rasa macam betul-betul menusuk ke kalbu, saya kongsikan. Bagi saya, platform media sosial ini mungkin salah satu cara berkesan yang Allah dorongkan untuk saya buat perkongsian kebaikan," katanya.
Sebelum ini, Syatilla mencuri perhatian warga maya apabila dilihat kerap mengulang siar petikan agamawan di Threads yang menyentuh mengenai kepentingan solat lima waktu serta galakan melakukan kebaikan.
Katanya, dia berharap setiap perkongsian tersebut diterima dengan hati terbuka dan memberi manfaat kepada orang ramai, bukannya mencetuskan perdebatan.
Sumber: Harian Metro
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|34 Views
No Comments yet
Be the first to comment.