Pengacara Nabil Ahmad tampil menjelaskan kontroversi yang tercetus susulan gurauannya terhadap peserta Sabrina ketika program Big Stage X Rocketfuel, sambil menegaskan segala yang berlaku di pentas adalah sebahagian daripada perancangan persembahan.
Menurut Nabil atau Ahmad Nabil Ahmad, 43, setiap aksi dan dialog yang dipersembahkan telah dipersetujui bersama pihak produksi serta tidak mempunyai kaitan dengan hal peribadi mana-mana peserta.
"Bagi saya, semua kena belajar terima yang ini sekadar hiburan. Tak payah nak ambil serius sangat.
"Saya pun ada kerja yang saya kena buat. Memang pihak produksi setuju dan saya pun setuju. Semua itu ada dalam persembahan. Apa yang saya buat dalam persembahan tak ada kena-mengena dengan hal peribadi," katanya kepada mStar.
Mengulas mengenai kecaman yang tular di Threads, Nabil berkata dia sendiri tidak mengikuti perbincangan tersebut kerana bukan pengguna platform berkenaan.
Katanya, dia sengaja memilih untuk tidak memuat turun aplikasi itu bagi menjaga kesihatan mental dan mengelakkan diri daripada terlalu memikirkan komen negatif netizen.
"Saya syukur sangat saya tak ada Threads. Saya tak ambil tahu sebab saya nak jaga mental health saya. Saya hanya buat kerja saya saja.
"Selagi pihak produksi bagi peluang dekat saya, saya bersyukur masih ada peluang untuk terus bekerja dalam industri," ujarnya.
Tambah Nabil, dia juga tidak pernah menjadikan kritikan di media sosial sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian berlebihan, malah percaya setiap publisiti yang diterima mempunyai hikmah tersendiri.
"Dari dulu lagi saya selalu cakap, any publicity is good publicity. Ia sebahagian daripada persembahan dan kerjaya.
"Threads itu memang tempat orang main-main. Orang jual goreng pisang pun kena kecam. Jadi bagi saya, apa yang ada dekat situ tak penting.
"Yang penting ialah rancangan sebenar, persembahan secara langsung dan peserta-peserta yang saya bersama mereka sejak sesi latihan," katanya.
Ditanya sama ada sempat bertemu Sabrina selepas tamat siaran langsung, Nabil memaklumkan perkara itu tidak berlaku kerana masing-masing mempunyai komitmen sebaik program berakhir.
"Mana nak jumpa? Tak jumpa. Mereka terus dibawa ke tempat lain. Saya pula lepas habis rancangan terus balik sebab esok pagi ada siaran radio," katanya.
Sebelum ini, Nabil menjadi bualan ramai selepas gurauannya terhadap Sabrina ketika sesi penyingkiran Big Stage X Rocketfuel mengundang kritikan segelintir netizen yang mendakwa tindakan tersebut boleh menjatuhkan semangat peserta berkenaan.
0 Comments
|62 Views
No Comments yet
Be the first to comment.