Pelakon dan penyanyi, Yana Samsudin mendedahkan dia dulunya aktif dalam bidang sukan sepanjang sekolah rendah hingga menengah.
Pemilik nama sebenar, Norliana Samsudin, 41, turut berkongsi dia pernah dinobatkan Olahragawati Batu Pahat dan atlet gimnastik berirama atau gimrama mewakili sekolahnya.
Yana berkongsi sisi berbeza dirinya yang sangat dikenali sebagai atlet yang cemerlang di sekolah menengah.
"Pada mulanya, saya pun tidak tahu minat dalam bidang apa kerana saya masuk dalam semua acara sukan dan pertandingan sejak di sekolah rendah.
"Saya masuk saja semua acara dan pertandingan seperti bola baling, bola jaring dan semuanya menang ketika itu," katanya ketika sesi temu bual eksklusif di pejabatnya, Prokuya Studios di Desa Alam, Shah Alam baru-baru ini.

Hadir sama, suaminya, pelakon Fadzil Zahari.
Mengulas lanjut, kata Yana, dia juga pernah dinobatkan sebagai olahragawati di Batu Pahat ketika menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yong Peng, Johor.
"Bila masuk tingkatan satu dan dua, saya sangat aktif dalam bidang sukan dalam acara larian jarak jauh iaitu 1,500 meter (m), 800m dan 400m, hingga peringkat daerah dan Johor.
"Berbeza dengan sekarang, penampilan saya dulu selekeh dan berkulit gelap sebab setiap hari buat latihan acara larian 1,500m sebanyak 15 pusingan keliling padang pada waktu pagi dan petang," katanya.
Pada masa sama, kata Yana, bapanya juga menggunakan semua wang kemenangan yang dimenanginya dalam acara sukan itu untuk perbelanjaan sekolahnya.
"Saya masih ingat, bila dinobatkan sebagai olahragawati di Batu Pahat, saya dapat piala pusingan dan wang tunai RM2,500.
"Setiap kali menang pingat emas acara larian pula saya akan dapat wang tunai RM80.
"Semua wang kemenangan itu, bapa saya gunakan untuk bayar yuran dan perbelanjaan sekolah ketika itu," katanya.
Bagaimanapun, kata Yana, dia terpaksa beralih kepada sukan gimrama kerana kerap pengsan ketika acara larian di padang sekolah.
"Doktor beritahu keadaan perut saya tidak kuat untuk acara larian hingga saya terpaksa pakai bengkung, tetapi saya masih pengsan di padang ketika itu.
"Jadi, bila sudah tidak aktif acara larian, saya masuk acara gimrama pula dan turut menang banyak pingat emas ketika di tingkatan tiga.
"Ada juga pihak yang persoalkan macam mana atlet acara larian yang berbadan tegap seperti saya boleh lenturkan badan untuk acara gimrama? Sebenarnya, semua boleh dilakukan melalui sesi latihan dengan rakan dan tenaga pengajar di sekolah," katanya.
Kata Yana lagi, dia dapat tawaran untuk diserapkan ke pertandingan gimrama peringkat negeri selepas menang di peringkat daerah.
"Sebenarnya saya tidak pandai buat acara gimrama dengan riben dan bila diserapkan ke peringkat negeri perlu berlatih di Segamat, tapi saya tidak teruskan.
"Pada masa sama, saya juga tiada kelengkapan lengkap dari segi pakaian dan hanya pakai baju renang yang dijahit labuci sendiri di baju.
"Selain itu, saya juga bersekolah di kawasan kampung dan tidak dapat sokongan dari ustaz (guru agama) untuk pelajar sertai acara gimrama sebegitu," katanya.
SUMBER:HARIAN METRO
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|322 Views
No Comments yet
Be the first to comment.