Yusof Haslam Akui Gerak Khas Kini Turut Dedahkan Sisi Gelap Anggota Polis
- #tempatan
- #hiburan
- #selebriti
- #gerakkhas
- #penerbit
- #pengarah
- #yusofhaslam
Penerbit terkenal, Yusof Haslam berharap masyarakat tidak terus melabel seluruh pasukan polis hanya kerana kesalahan yang dilakukan segelintir individu.
Menurut Yusof, 72, setiap organisasi pasti mempunyai kelemahan, namun ia tidak wajar dijadikan alasan untuk menghukum keseluruhan anggota yang selama ini berkorban menjaga keselamatan negara.
"Saya juga ada saudara-mara dalam pasukan polis. Kadang-kadang apabila timbul kes rasuah, masyarakat terus bantai semua polis sehingga anak-anak anggota polis menangis kerana diejek di sekolah.
"Daripada situ saya dapat banyak input. Sebab itu saya selitkan mesej ini dalam drama supaya masyarakat sedar, kalau berlaku satu dua kes, janganlah terus label seluruh pasukan itu buruk," katanya ketika ditemui pada sidang media drama Gerak Khas 2.0, baru-baru ini.
Yusof berkata, mesej tersebut bukan hanya ditujukan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), malah kepada semua jabatan kerajaan yang turut berdepan persepsi sama apabila timbul isu membabitkan segelintir kakitangan.
"Saya harap masyarakat dapat menghargai pengorbanan PDRM kepada negara," ujarnya.
Mengulas pembaharuan dalam naskhah Gerak Khas 2.0, Yusof mendedahkan dia kini lebih berani memaparkan sisi gelap dalam pasukan polis, namun masih berpandukan garis panduan dan kelulusan daripada pihak PDRM.
"Sebelum ini ada orang cakap, 'Sampai bila nak bodek PDRM? Asyik tunjuk polis baik saja.'
"Tetapi bermula daripada filem Sheriff: Narko Integriti, kita sudah diberi sedikit kelonggaran untuk menghasilkan karya yang lebih seimbang.
"Dalam cerita ini memang ada sisi negatif yang kita paparkan kerana nobody's perfect. Dalam keluarga yang ada enam orang anak pun, kadang-kadang seorang dua tetap buat hal," katanya.
Tambahnya, sebagai penerbit yang sudah lebih dua dekad menghasilkan Gerak Khas, tanggungjawabnya bukan sekadar menghiburkan penonton, malah menyampaikan mesej supaya masyarakat melihat sesuatu isu secara lebih adil dan menyeluruh.
Drama terbitan Skop Productions dengan kerjasama Sarawak Media Group itu kembali dengan pendekatan lebih moden menerusi 26 episod yang mengetengahkan jenayah siber, sindiket berteknologi tinggi serta menjadikan Sarawak sebagai antara lokasi utama penceritaan.
Selain Yusof, drama tersebut turut dibintangi Erra Fazira, Hans Isaac, Anding Indrawani, C. Kumaresan, Datuk Shaharon Anuar, Deen Maidin, Salina Saibi dan Tisha Shamsir.
Sumber: Harian Metro
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|100 Views
No Comments yet
Be the first to comment.